Sunday, 2 September 2012

Keldai dan Garuda.

Ke pekan kampung sebelah. Janggal. Ini julung kali aku ke sini. Teringat Pikiran pesan tadi minta belikan topeng lama. “Kalau boleh Pikiran nak yang warna hitam, taknak yang bercorak-corak..hehe”, kata Pikiran sebelum aku ke pekan baru ini menunggang seekor keldai. Dia nak buat apa dengan topeng tu, aku pun tak tahu. Tu kena tanya Pikiran. Tapi borak hati, belikan saja. Siapa yang tak sayang adik sendiri. Yang bongsu pulak tu.

       Hampir dua bulan aku menunggang keldai ke sana, tak sampai-sampai. Melihat muncung si keldai, aku rasa aku tak ubah sepertinya, mencebik kepenatan. Yang dijumpa bukannya pekan, tapi khemah puak assabiyah di tengah padang pasir ni. Mereka sedang berjudi. Aku pun apa lagi, keluarkan 131 Dinar dari saku yang aku simpan untuk membeli topeng.

Kalah judi. Ikut hati nak je jual keldai ni. Sebab judi jugak la kuda aku jual, keldai ni yang aku pakai. Orang kampung dah mula perasan yang aku dah makin papa. Menunduk sama macam keldai, buruknya suara macam keldai, letih macam keldai, menjebik macam keldai.

Berhenti berjudi.
Walaupun tak dapat tebus balik duit topeng pesan si Pikiran dan kuda yang ditaruh, dan tak dapat buang anggapan mereka bahwa aku persis seekor keldai, tapi elok aku berhenti. Aku tahu bukan senang, sebab badan pun dah berbau keldai. Tapi memang kena berhenti. Kalau tak, takut bukan keldai yang ditunggang lagi, tetapi ayam. Ayam lagi susah nak ditunggang. Betul, aku dah cuba.

Tak payah berjanji tak payah berikrar, jangan berjudi lagi. Sebab ternyata makin miskin dibuatnya. Pikiran pun dah marah sebab tak dapat topengnya dan sampai sekarang aku rasa betapa seksanya menunggang keldai. Busuk.  Jangan endahkan apa yang mereka fikir kalau kau dah berhenti berjudi. Dari mereka anggap kau karib si keldai sampai bila-bila, biar mereka tahu yang kau juga karibnya si garuda. Garuda yang terbang mendongak,pelepahnya bercorak batik, dan kepaknya bersilang dimensi.

       Albab pernah tanya aku, “Kalau kau karibnya si garuda, kenapa selama ini kau tunggang keldai. Kenapa tak tunggang sahaja garuda yang sudah tentu laju. Atau kenapa tak kau jual sahaja garuda itu, boleh bertaruh judi.....”

Sebenarnya aku lupa yang garuda ada di atas sana, di sebalik awan. Samada aku yang sombong, atau si garuda yang malu nak turun. Aku rasa dia yang malu. Sebab di bawah ini tak sama seperti di atas sana. Ia lebih selesa ia di celah-celah awan yang kelihatan sama sahaja bentuknya, atau tidak berbentuk.  

       Satu malam yang gelapnya seperti pagi, aku panjat Bukit Meriam. Aku pandang ke langit dan aku   jerit, “Garuda, aku perlukan kau!”. 34 saat selepas aku teriak, awan yang tadinya berkepul terus terpisah dua dek belahan kepak si garuda. Tersenyum aku lihat garuda terbang ke arahku. Tapi macam jauh garuda tu. Sebab ia nampak kecil dari pandangan aku. Dan terbangnya tak sampai-sampai. Atau mungkin menjauh? Tidak, aku harap aku tidak berkhayal. Memandang ke garuda yang kian menjauh, bibirku berketip, “Harap-harap ini mimpi, atau mainan ilusi”. Aku betul-betul perlukan sang garuda, untuk bawa aku terbang ke atas sana.
         




No comments:

Post a Comment