Tuesday, 4 September 2012

Tak kena masa atau takut sebenarnya?

Buku itu berbalut suratkhabar yang terdapat gambar kopi yang masih berasap. Mungkin dari keratan iklan. Tapi elok pula rautnya sebagai sampul dengan warna helaian yang hitam hampir keseluruhannya.  Macam bukan helaian suratkhabar yang penuh dengan tulisan berkarbon dan apabila dipegang, tercalit kesan hitam pada telapak.

       Buku itu milik aku. Tertulis di belakang muka depannya, ‘Since 2005’ dengan satu lukisan yang jelas ada pengaruh komik Gempak. Buku ini bukan sekadar/calang-calang/sebarang buku, buku ini adalah pegangan/semangat/prinsip. Sampai tahun 2007 aku biarkan diri dirasuk tulisan-tulisan tangan yang aku anggap sakti ini. Mungkin kau tak percaya, tapi aku memang ada kuasa luar biasa kerana buku ini. Kuasa sakti yang menjadikan aku kesatria kepada diri sendiri dan menembusi mimpi untuk tarik jasad dari dimensi itu ke dunia realiti.

       Tapi itu dulu, angka mati cina yang lepas. Kesatria itu masih wujud, tapi yang tinggal hanya tubuhnya. Kesaktiannya entah hilang kemana. Kesian.

       Mungkin buku yang tersimpan tulisan sakti itu hilang sudah kuasanya? Tapi sebab apa?
Tidak. Buku itu masih sama, tak pernah berubah. Yang berubah adalah khadamnya. Mungkin buku itu yang saban tahun dicatit semakin lama semakin luarbiasa kuasanya sehinggakan khadam dan tukang catitnya sendiri pun tak mampu nak menjadi penjaganya lagi.

      Angka mati cina tahun separuh tambah suku bulan kesatria itu matikan diri. Walau mati dalam hidup pun kesatria itu, tukang catitnya setia menjalankan tugas. Tak pernah berhenti. Walau mungkin tak sekerap sebelum kesatria hilang kuasa.

      Angka kurang satu untung cina tahun sejak buku itu dijumpai tukang catitnya di tasik yang tak bernaga. Nampak lapisan pertama yang menyelaputinya mula tersiat oleh masa dan udara. Apa sebenarnya punca buku ini diabaikan tapi masih terus dicatit? Tak kena masa atau takut sebenarnya? Albab selaku pencagar kepada buku ini pernah memberitahu bahawa tulisan-tulisan dalam buku itu sudah lapuk. Albab menipu sebenarnya, kerana dia sebenarnya takut kepada buku itu. Atau lebih tepat, takut kepada tulisan-tulisan di dalam buku itu. Katanya, belum tiba masa yang sesuai untuk tulisan-tulisan ini menjadi hantu. Tapi takkan sampai angka mati cina tahun separuh tambah suku bulan kau biarkan buku itu begitu sahaja? Aku tahu kau masih rela dirasuk buku itu, tapi kau sengaja tidak membiarkan diri dirasuk bukan? Kau tahu kalau kau dirasuk, ngeri dari segala hantu jadinya. Tapi kenapa kau tak mahu? Kenapa?

Aku tahu kenapa. Sengaja aku tanya. Kau sebenarnya takut. Takut kepada tulisan berdakwat darah kau itu. Takut tak tertanggung. Kan?

     Jadi sekarang kau pilih, jadi kesatria kembali atau tinggal matikan diri dalam bilik berdinding putih yang kosong dan sunyi ini. Kau pilih sahaja. Tiada siapa paksa. Peluk buku itu, buka mulut dan telan dengan lapisan pertamanya. Biar kau mati tercekik buku itu dari kau mati begitu sahaja.

Dan tangan ini pun mencapai buku itu kembali.



"Without a soul, my spirit's sleeping somewhere cold"

No comments:

Post a Comment