Sunday 16 September 2012

Bosan biarkan bosan.

             Sesuatu perkara yang bosan itu ada kalanya elok untuk dibiarkan supaya tidak menjadi janggal kepada sang pengamal. Yang bosan itu menjadi jambatan yang menghubungkan pulau sang pengamal dan cinta hatinya di pulau bersebelahan. Yang bosan itu juga adalah pembeza antara satu hari yang baru dengan hari yang sebelumnya. Kerana nilai subjek bosan untuk setiap hari adalah berbeza dan mustahak untuk diambil berat. Walaupun ia membosankan. Kerana sang pengamal dan cinta hatinya di pulau sebelah sentiasa mencintai walaupun terpisah dek laut. Laut yang indah terbentang namun kelihatan bosan jika dipandang setiap hari.


Saturday 8 September 2012

Mengkarut, Mengmarut.

Setiap apa yang aku fikir adalah karut. Sengaja aku abadikan karutan itu dalam tulisan sebegini. Di sini. Supaya dapat aku simpan segala karutan itu dalam medium yang aneh ini.



Wednesday 5 September 2012

Tak Jadi Cakap

Biar tak jadi cakap, dari tercakap tapi tak jadi. Sebab bila dah tercakap, walaupun pada pucuknya prinsip yang cuba diwar-warkan tu betul, ianya akan menjadi kata-kata kosong. Bila dah cakap, mungkin rasa dah puas, atau lebih teruk rasa sudah selesai. Terbawa kembali kepada prinsip lama apabila dah terlepas cakap. Tak menjadi la kalau terus begini.

Mulanya berazam, akhirnya  tenggelam. Semuanya gara-gara cakap.

            Jangan cakap selagi tak merasa, takut nanti sendiri berduka. Cakap melemahkan prinsip yang asalnya kukuh dan pegun. Pegun supaya tiada yang mengusik dan hanya sendiri yang tahu, tak perlu orang lain menyibuk. Yang tak menjadi bila bukan orang yang datang menyibuk, tapi mulut sendiri yang memekik panggil orang datang untuk mengutuk.

            Sebelum cakap, kau memang tak sama dengan subjek yang akan dicakapkan. Memang betul cakap kau berkenaan subjek itu tapi………………………………………………..

Betul tak semestinya bagus. Bagus tak semestinya perlu. Lebih-lebih dalam hal bercakap.
Biar la betul ke tidak, tak payah bawa dalam percakapan. Kalau terus dicakap tentang bengkoknya subjek, orang yang mendengar akan nampak bengkoknya kita. Kita bercakap macam kita ini pembaris kuning, padahal tanpa sedar kita lebih dari tapak kaki ayam yang mencakar-cakar tanah nak dapatkan cacing. Kalau ayam takpe la dah memang resmi dia makan cacing. Tapi kalau kita yang manusia ni pun nak makan cacing, mulut yang berbibir nampaknya kena ditukar dengan paruh ayam.
Supaya senang nak diikat dan disembelih.
Baru dah tak bercakap.


Tuesday 4 September 2012

Tak kena masa atau takut sebenarnya?

Buku itu berbalut suratkhabar yang terdapat gambar kopi yang masih berasap. Mungkin dari keratan iklan. Tapi elok pula rautnya sebagai sampul dengan warna helaian yang hitam hampir keseluruhannya.  Macam bukan helaian suratkhabar yang penuh dengan tulisan berkarbon dan apabila dipegang, tercalit kesan hitam pada telapak.

       Buku itu milik aku. Tertulis di belakang muka depannya, ‘Since 2005’ dengan satu lukisan yang jelas ada pengaruh komik Gempak. Buku ini bukan sekadar/calang-calang/sebarang buku, buku ini adalah pegangan/semangat/prinsip. Sampai tahun 2007 aku biarkan diri dirasuk tulisan-tulisan tangan yang aku anggap sakti ini. Mungkin kau tak percaya, tapi aku memang ada kuasa luar biasa kerana buku ini. Kuasa sakti yang menjadikan aku kesatria kepada diri sendiri dan menembusi mimpi untuk tarik jasad dari dimensi itu ke dunia realiti.

       Tapi itu dulu, angka mati cina yang lepas. Kesatria itu masih wujud, tapi yang tinggal hanya tubuhnya. Kesaktiannya entah hilang kemana. Kesian.

       Mungkin buku yang tersimpan tulisan sakti itu hilang sudah kuasanya? Tapi sebab apa?
Tidak. Buku itu masih sama, tak pernah berubah. Yang berubah adalah khadamnya. Mungkin buku itu yang saban tahun dicatit semakin lama semakin luarbiasa kuasanya sehinggakan khadam dan tukang catitnya sendiri pun tak mampu nak menjadi penjaganya lagi.

      Angka mati cina tahun separuh tambah suku bulan kesatria itu matikan diri. Walau mati dalam hidup pun kesatria itu, tukang catitnya setia menjalankan tugas. Tak pernah berhenti. Walau mungkin tak sekerap sebelum kesatria hilang kuasa.

      Angka kurang satu untung cina tahun sejak buku itu dijumpai tukang catitnya di tasik yang tak bernaga. Nampak lapisan pertama yang menyelaputinya mula tersiat oleh masa dan udara. Apa sebenarnya punca buku ini diabaikan tapi masih terus dicatit? Tak kena masa atau takut sebenarnya? Albab selaku pencagar kepada buku ini pernah memberitahu bahawa tulisan-tulisan dalam buku itu sudah lapuk. Albab menipu sebenarnya, kerana dia sebenarnya takut kepada buku itu. Atau lebih tepat, takut kepada tulisan-tulisan di dalam buku itu. Katanya, belum tiba masa yang sesuai untuk tulisan-tulisan ini menjadi hantu. Tapi takkan sampai angka mati cina tahun separuh tambah suku bulan kau biarkan buku itu begitu sahaja? Aku tahu kau masih rela dirasuk buku itu, tapi kau sengaja tidak membiarkan diri dirasuk bukan? Kau tahu kalau kau dirasuk, ngeri dari segala hantu jadinya. Tapi kenapa kau tak mahu? Kenapa?

Aku tahu kenapa. Sengaja aku tanya. Kau sebenarnya takut. Takut kepada tulisan berdakwat darah kau itu. Takut tak tertanggung. Kan?

     Jadi sekarang kau pilih, jadi kesatria kembali atau tinggal matikan diri dalam bilik berdinding putih yang kosong dan sunyi ini. Kau pilih sahaja. Tiada siapa paksa. Peluk buku itu, buka mulut dan telan dengan lapisan pertamanya. Biar kau mati tercekik buku itu dari kau mati begitu sahaja.

Dan tangan ini pun mencapai buku itu kembali.



"Without a soul, my spirit's sleeping somewhere cold"

Monday 3 September 2012

Tergantung.

Memang tergantung. Sebab aku menulis membuta-tuli. Aku tak belajar falsafah, aku tak belajar sastera.

        Aku cuma belajar Bahasa Melayu di sekolah. Tak lama, hanya 10 tahun. 5 tahun di sekolah rendah, 5 tahun di sekolah menengah. Aku tak belajar falsafah tak bermakna aku tak tahu. Sebab belajar tak semestinya di sekolah. Di sekolah, falsafah tak semestinya falsafah Plato, Hippocrates, mahupun Aristotle. Falsafah terbentuk dari sumber yang sukar dijejak dan akhirnya membentuk pendirian yang dipegang sekarang. Tetapi sastera tidak begitu. Sastera perlu dipelajari. Sebab sastera itu bahasa, bukan prinsip. Sebab tu juga tulisan aku sambarono. Kekurangan sastera. Tak belajar sastera, tapi falsafah tu ada.
Macam orang-orang lain jugak. Sebab itu juga falsafah aku tergantung. Mungkin jelas dan mungkin tidak. Mungkin betul dan mungkin tidak. Mungkin tinggi dan mungkin rendah. Mungkin terikat dan mungkin tergantung.



Sunday 2 September 2012

Keldai dan Garuda.

Ke pekan kampung sebelah. Janggal. Ini julung kali aku ke sini. Teringat Pikiran pesan tadi minta belikan topeng lama. “Kalau boleh Pikiran nak yang warna hitam, taknak yang bercorak-corak..hehe”, kata Pikiran sebelum aku ke pekan baru ini menunggang seekor keldai. Dia nak buat apa dengan topeng tu, aku pun tak tahu. Tu kena tanya Pikiran. Tapi borak hati, belikan saja. Siapa yang tak sayang adik sendiri. Yang bongsu pulak tu.

       Hampir dua bulan aku menunggang keldai ke sana, tak sampai-sampai. Melihat muncung si keldai, aku rasa aku tak ubah sepertinya, mencebik kepenatan. Yang dijumpa bukannya pekan, tapi khemah puak assabiyah di tengah padang pasir ni. Mereka sedang berjudi. Aku pun apa lagi, keluarkan 131 Dinar dari saku yang aku simpan untuk membeli topeng.

Kalah judi. Ikut hati nak je jual keldai ni. Sebab judi jugak la kuda aku jual, keldai ni yang aku pakai. Orang kampung dah mula perasan yang aku dah makin papa. Menunduk sama macam keldai, buruknya suara macam keldai, letih macam keldai, menjebik macam keldai.

Berhenti berjudi.
Walaupun tak dapat tebus balik duit topeng pesan si Pikiran dan kuda yang ditaruh, dan tak dapat buang anggapan mereka bahwa aku persis seekor keldai, tapi elok aku berhenti. Aku tahu bukan senang, sebab badan pun dah berbau keldai. Tapi memang kena berhenti. Kalau tak, takut bukan keldai yang ditunggang lagi, tetapi ayam. Ayam lagi susah nak ditunggang. Betul, aku dah cuba.

Tak payah berjanji tak payah berikrar, jangan berjudi lagi. Sebab ternyata makin miskin dibuatnya. Pikiran pun dah marah sebab tak dapat topengnya dan sampai sekarang aku rasa betapa seksanya menunggang keldai. Busuk.  Jangan endahkan apa yang mereka fikir kalau kau dah berhenti berjudi. Dari mereka anggap kau karib si keldai sampai bila-bila, biar mereka tahu yang kau juga karibnya si garuda. Garuda yang terbang mendongak,pelepahnya bercorak batik, dan kepaknya bersilang dimensi.

       Albab pernah tanya aku, “Kalau kau karibnya si garuda, kenapa selama ini kau tunggang keldai. Kenapa tak tunggang sahaja garuda yang sudah tentu laju. Atau kenapa tak kau jual sahaja garuda itu, boleh bertaruh judi.....”

Sebenarnya aku lupa yang garuda ada di atas sana, di sebalik awan. Samada aku yang sombong, atau si garuda yang malu nak turun. Aku rasa dia yang malu. Sebab di bawah ini tak sama seperti di atas sana. Ia lebih selesa ia di celah-celah awan yang kelihatan sama sahaja bentuknya, atau tidak berbentuk.  

       Satu malam yang gelapnya seperti pagi, aku panjat Bukit Meriam. Aku pandang ke langit dan aku   jerit, “Garuda, aku perlukan kau!”. 34 saat selepas aku teriak, awan yang tadinya berkepul terus terpisah dua dek belahan kepak si garuda. Tersenyum aku lihat garuda terbang ke arahku. Tapi macam jauh garuda tu. Sebab ia nampak kecil dari pandangan aku. Dan terbangnya tak sampai-sampai. Atau mungkin menjauh? Tidak, aku harap aku tidak berkhayal. Memandang ke garuda yang kian menjauh, bibirku berketip, “Harap-harap ini mimpi, atau mainan ilusi”. Aku betul-betul perlukan sang garuda, untuk bawa aku terbang ke atas sana.