Perasaan bercampur-baur, Fikiran mengelamun.
Diri ini dirasakan sendirian, tanpa sesiapa.
Membuka pili air di kamar mandi,
Aku lebih bermandikan kenangan berbanding jisim air itu sendiri.
Dinding bermozek yang basah tidak aku nampak.
Yang kelihatan hanya kau.
Perit. Sedih. Seksa.
Hampir 100 al-yaum namun aku masih begini.
Mengenang, sambil menjamah hati sendiri.
Pili air dipulas dan terhenti pancuran air yang entah kemana perginya tadi.
Fikir aku sesi memakan diri sudah tamat, namun belum sempat aku mencapai tuala,
tersungkur aku terduduk menyandar ke dinding yang sejuk itu.
Tak semena menitis air mata yang ibarat permata jika dicari di gunung,
dan ibarat kabus jika dicari di dasar laut.
Tak dapat aku bezakan yang mana air mata, dan yang mana air paip yang masih melekat di muka.
* * * * * * * * * * *
Pedal ditekan,
Mata memandang jalan, kepala memandang lamunan.
Memikirkan betapa kejamnya masa depan, tak aku sangka menitis lagi air mataku.
Kejamnya masa depan kerana membiarkan aku hidup tanpa kau.
Untung sedikit jika kau masih mengingatiku.
Pondok yang makanan rujinya adalah duit terlintas dek aku.
Tiada pilihan.
Tertunduk-tunduk aku menghulur syiling kepada penunggu pondok.
Risau ternampak olehnya mataku yang merah berair ini.
* * * * * * * * * * *
Tembus di sempadan daerah yang bakal sebati dengan aku.
Mata ini bergenang kembali, titisan demi titisan menjejak jeans lusuh hitam kegemaran.
Teresak aku tak ubah seperti budak yang masuk tadika pada hari pertama.
Tak sanggup aku membayangkan apa yang bakal berlaku.
Apa yang aku nampak, hanya aku bersama diriku. Berseorangan.
Tak pernah aku rasa begini seumur hidupku.
Tak sangka buruk sekali bunyi aku teresak.
Tapi tak aku peduli kerana air mata ini harus mengalir, supaya tidak menjadi cecair yang meracun dari dalam.
Dan menjadi mati, tapi bernyawa.
Terkumat-kamit mulut aku meminta pertolongan Ilahi untuk memberikan ku ketabahan. Istifar. Air mata.
No comments:
Post a Comment