Monday, 14 January 2013

Awan Hitam di Realitiland

     ‘Ada satu peringkat dalam hidup aku beberapa tahun yang lalu, ketika  berpesan kepada diri untuk hidup dalam realiti. Berhenti berangan, berhenti memujuk hati dengan sesuatu yang tidak ada, berhenti mengharapkan sesuatu yang tidak pasti, berhenti hidup dalam fantasi! ‘ -PeribiRu

Sebelum masa itu, aku tinggal di Mimpiland. Aku gembira tinggal di situ. Mimpiland memberi aku harapan yang tinggi dan sering memujuk apabila aku kecewa. Aku suka dengan makhluk-makhluk magis yang ada disana dan menjadi teman kepada aku. Pada masa itu aku langsung tak peduli apa yang mereka di dunia lagi satu itu, iaitu Realitiland fikirkan. Yang penting apa yang aku percaya, apa yang aku rasa, yang lebih memihak kepada aku. Semua itu aku dapat dari Mimpiland yang diinspirasi dari sesuatu yang aku suka dan juga fantasi yang aku cipta sendiri.

             Bertahun begitu, aku rasa tiba masa untuk aku tinggalkan Mimpiland. Fikirku, jika aku terus begitu, aku akan terus tertelan dek khayalan sendiri. Aku tak akan faham apa yang berlaku di dunia realiti. Aku akan terus berada dalam dunia sendiri yang akan membuatkan orang memandang hairan kepadaku. Dan aku fikir pada umur itu, aku harus mula bersedia untuk melangkah keluar dari Mimpiland ke Realitiland.

             Tanpa berfikir panjang, aku terus melangkah keluar. Tidak juga terlalu janggal. Cuma berbeza dari Mimpiland. Dari langkah pertama di Realitiland, sehingga ke dua ribu lima ratus lima puluh lima langkah, aku terhenti. Jauh jugak aku berjalan dalam dunia yang aku kurang biasa ni. Macam-macam yang aku jumpa. Yang pasti kebanyakkan perkara yang aku jumpa itu tidak aku suka. Hati aku semakin lama semakin membeku di sini kerana saljinya yang berwarna hitam turun tidak henti-henti. Sama macam ketika aku di Mimpiland,di sini juga banyak makhluk yang pelik. Bezanya di sana cantik-cantik dan baik manakala disini semuanya hodoh dan bengis. Takut aku dibuatnya. Berbekalkan bunga bakawali yang aku bawa sebagai alas perut, aku terus berjalan sejauh yang aku mampu semakin menjauh dari Mimpiland.

            Hari ini langkah aku terhenti seketika. Aku lihat sekeliling Realitiland ini, terkerut dahi aku. Aku tak suka apa yang aku lihat. Semuanya serba tidak kena. Semuanya membuatkan aku semakin takut untuk melangkah. Semuanya membuatkan aku tidak lagi sama seperti aku yang sendiri kenal ketika di Mimpiland. Makhluk-makhluk magis di Mimpiland pun sudah lama aku tidak temui. Aku rindu kepada mereka. Tak tau jika mereka juga rindu kepada aku. Sebab tiada pun mereka datang mencari aku. Mungkin mereka tidak lagi peduli. Fikir mereka, siapa suruh aku yang keluar dari Mimpiland meninggalkan mereka secara tiba-tiba dahulu, mungkin.

            Terhentinya langkah ini membuatkan aku semakin rindu dengan Mimpiland. Jika ada diantara mereka dari Mimpiland yang datang untuk membawa aku pulang ke sana, sudah tentu aku akan ikut mereka pulang. Aku tak mahu lagi tinggal di sini. Aku bosan dengan tempat ni. Aku takut dengan makhluk-makhluk bengis yang ada disini.

Aku nak kembali ke Mimpiland!....
Tolong bawa aku ke sana kembali….
Sekarang juga!

*Terlalu melihat secara realiti itu membuatkan terhapusnya persepsi fantasi dari khayalan dan merosakkan hidup yang sepatutnya terbentuk dari dua dunia yang berbeza tersebut.



“Said you had to leave to start your life over”

No comments:

Post a Comment