Wednesday, 26 December 2012

Reinkarnasi.

Dua puluh dua aku anggap suku dari hayat.
Suku pertama yang melibatkan beberapa fasa.
Fasa yang tiada dalam suku yang berbaki.

Jurang antara fasa ini adalah atas dasar perspeksi, susuk, dan ruang.
Fasa ini dianggap enceh namun dominasinya mempengaruhi suku yang berbaki.
Cerita, gagang, dan riwai yang terabadi lalu membentuk jati diri.
Cukup untuk dikatakan suku pertama ini adalah mustahak untuk diambil peduli, dan dimemori.

Suku dua. Mulanya mengerikan.
Mungkin tidak biasa atau janggal.
Jadi diambil sedikit masa untuk memerhati.
Dan diperhati.

Kejanggalan itu yang menjadi jurang atau mungkin juga jambatan antara dua suku ini.
Oleh itu, tiba di suku dua, lahir semula.
Jika suku pertama berakhir dengan metamorfosis, bermulanya suku kedua ini kembali zaigot.
Bukan zaigot yang nadil. Tapi yang ada penunggunya. Yang lebih angker.

Zaigot ini berbalik kemahuannya seperti dulu. Atau mahu berbalik.
Mahu mempercayai perihal yang tidak wujud, suka menjejak galur, memandang sisi yang baik, teruja dengan setiap apa, tiada yang biasa; jika ada pun pastinya dianggap aneh, berkawan seperti di darjah 2 Bijak, gelagat manusia sebagai hiburan, berangan yang tidak nampak, lagu perhimpunan pagi, semua jisim tiada yang membosankan, dan takutkan hantu di bawah katil.

Tapi yang paling mustahak adalah, memperkasa riwai yang ada.
Biar menjadi hantu yang memakan orang.
Biar tertipu dek lagenda, asalkan tidak mati oleh logiknya hakikat.
Hakikat yang sudah pasti membosankan dan sifatnya membinasa.



Friday, 7 December 2012

Friday Cry (Lamunan Satu)

Bangkit dari tidur pagi ini berbeza rasanya.
Perasaan bercampur-baur, Fikiran mengelamun.
Diri ini dirasakan sendirian, tanpa sesiapa.

Membuka pili air di kamar mandi,
Aku lebih bermandikan kenangan berbanding jisim air itu sendiri.
Dinding bermozek yang basah tidak aku nampak.
Yang kelihatan hanya kau.

Perit. Sedih. Seksa.

Hampir 100 al-yaum namun aku masih begini.
Mengenang, sambil menjamah hati sendiri.

Pili air dipulas dan terhenti pancuran air yang entah kemana perginya tadi.
Fikir aku sesi memakan diri sudah tamat, namun belum sempat aku mencapai tuala,
tersungkur aku terduduk menyandar ke dinding yang sejuk itu.

Tak semena menitis air mata yang ibarat permata jika dicari di gunung,
dan ibarat kabus jika dicari di dasar laut.
Tak dapat aku bezakan yang mana air mata, dan yang mana air paip yang masih melekat di muka.

* * * * * * * * * * *

Pedal ditekan,
Mata memandang jalan, kepala memandang lamunan.
Memikirkan betapa kejamnya masa depan, tak aku sangka menitis lagi air mataku.
Kejamnya masa depan kerana membiarkan aku hidup tanpa kau.
Untung sedikit jika kau masih mengingatiku.

Pondok yang makanan rujinya adalah duit terlintas dek aku.
Tiada pilihan. 
Tertunduk-tunduk aku menghulur syiling kepada penunggu pondok.
Risau ternampak olehnya mataku yang merah berair ini.

* * * * * * * * * * *

Tembus di sempadan daerah yang bakal sebati dengan aku.
Mata ini bergenang kembali, titisan demi titisan menjejak jeans lusuh hitam kegemaran.
Teresak aku tak ubah seperti budak yang masuk tadika pada hari pertama.
Tak sanggup aku membayangkan apa yang bakal berlaku.
Apa yang aku nampak, hanya aku bersama diriku. Berseorangan. 
Tak pernah aku rasa begini seumur hidupku.

Tak sangka buruk sekali bunyi aku teresak.
Tapi tak aku peduli kerana air mata ini harus mengalir, supaya tidak menjadi cecair yang meracun dari dalam.
Dan menjadi mati, tapi bernyawa.
Terkumat-kamit mulut aku meminta pertolongan Ilahi untuk memberikan ku ketabahan. Istifar. Air mata.


                                              "cause i'm broken, when i'm lonesome"

Friday Cry (Lamunan Terhenti)

* * * * * * * * * * *
Tiba di sarang ulat jingga.
Aku kesa sisa-sisa permata dan kabus yang menutup muka dari tadi.
Sambil mengesa, setitis dua lagi menuruni.
Tidak kering.
Seperti sumpahan, berulang yang bagi aku bencana, walaupun sudah berada di bilik putih.

Mujur aku seorang di bilik ini.
Mujur bilik ini jarang disinggah orang.

Titisan ke dua ribu enam ratus sepuluh.

Termenung, tertitis.
Tertitis, termenung.

Mujur lirik Najwa Latif yang tak sengaja aku buka tadi menangkap fikiranku.
Lirik yang memujuk aku yang teresak-esak.
Satu rangkap itu aku tersentak, terhenti teresak.
Tersedar aku ada hikmah Dia merancang sebegini rupa.
Walaupun pedih, namun aku belajar menyedari bahawa, yang kekal bukan manusia, tetapi Dia.

Jadi mengapa perlu bersedih?
Aku tidak berseorangan. Dia mahu tunjukkan walaupun aku hilang orang yang aku sayang, aku masih ada Dia. Sentiasa.

"Kerna Kau yang satu, yang setia bersamaku.
........
Ku tahu ku ada-Mu, di sisiku selalu.
Bantulah hambamu mencari keredhaanMu.
Ku tahu ku ada-Mu."

Lalu membuatkan aku lebih percaya pada satu cinta. Cinta yang kekal. Cinta yang lebih suci. Cinta yang mampu menemani seumur hidup dan matiku.
Hingga aku tak mahu lagi cinta dari manusia, melainkan dari Ibu, Ayah, Keluarga, dan Sahabat yang aku sayang. Selamanya.